Bagaimana Mendorong Anak-anak Berkelakuan Baik

syuesalim | March 30, 2017 | 0Komen |
Setiap ibu bapa mahukan anak mereka jadi orang yang baik. Impian setiap ibu bapa mahukan anak-anak yang sopan dan berkelakuan baik. Betul? Sebab tingkah laku mereka mencerminkan keperibadian kita; ibu bapa. Pada sesetengah kanak-kanak, sifat baik ni mudah dipupuk. Namun ada sesetengahnya susah sangat; walau diajar, walau disuruh, sehinggakan ada ibu bapa yang berdepan dengan situasi begini percaya yang dah tak ada apa yang boleh dibuat untuk mereka. Pasti tak boleh buat apa dah?

Kanak-kanak mungkin dilahirkan dengan beberapa kebolehan semulajadi, tapi bersopan santun dan berkelakuan baik ini bukanlah satu kebolehan mereka. Ia sebenarnya bergantung kepada kita sebagai ibu bapa untuk mencorak sikap begini kepada mereka. Untuk mendorong anak-anak berkelakuan baik ini sebenarnya memerlukan dorongan dan galakan. Pendekatan yang positif dan membina biasanya adalah cara terbaik untuk membimbing tingkah laku anak-anak kita. Syue berikan beberapa tips yer.

👪 Asas kepada akhlak yang baik adalah rasa hormat; dan asas kepada rasa hormat ini adalah sensitiviti. Sensitiviti ini adalah satu sifat yang paling bernilai yang kita boleh semaikan pada anak-anak sejak mereka masih bayi lagi. Bayi yang ada sifat sensitiviti ini akan membesar menjadi kanak-kanak yang menghormati orang lain. Sebab apa? Dia hormat sebab dia memahami perasaan orang lain, dan secara semulajadinya akan mendorong anak ini menjadi seorang yang bersopan santun. Percayalah, sikap sopan ini memang tak dapat kita belajar dari mana-mana buku etika tau.
👪 Biasakan anak-anak dengan perkataan 'tolong' dan 'terima kasih'. Walaupun kanak-kanak 2 tahun belum faham pentingnya perkataan itu dalam komunikasi seharian, sekurang-kurangnya mereka boleh kaitkan 'tolong' ni apabila mereka nakkan sesuatu dan 'terima kasih' setelah selesai berbuat sesuatu. Apabila dah tanamkan perbendaharaan begini dalam otak mereka secara tak langsung sikap yang baik akan terbawa-bawa sehingga mereka dewasa nanti.

👪 Guna diri sendiri sebagai 'role model' kerana perbuatan lebih memberi berkesan berbanding percakapan. Mereka akan berkelakuan seperti apa yang mereka tengok. Contoh, kalau kita tak mahu anak-anak kita cakap jerit-jerit, kita sendiri kena cakap perlahan-lahan. Boleh?

👪 Biar jelas apabila kita beritahu anak-anak kita, apa yang diperlukan atau tidak diperlukan oleh mereka, dan kita kena laksanakan apa yang kita kata. Jika kita ikut apabila anak-anak kita merengek nakkan sesuatu, secara tidak sengaja kita melatih mereka merengek lagi. 'Tidak' bermakna 'tidak', bukan 'mungkin'. Kalau perlu bagi pilihan; 'boleh ambil satu mainan sahaja; bola atau kereta mainan'.


👪 Berikan tanggungjawab kepada anak-anak. Cuba beri anak-anak kita beberapa kerja mudah atau perkara yang mereka boleh lakukan untuk membantu keluarga. Buat anak-anak kita berasa mereka penting dalam keluarga. Contoh, bagi vacum carpet, potong sayur. Anak ramai lagi untung; boleh agih kerja. Jika kita boleh bagi anak kita buat kerja rumah, lama kelamaan dia akan menjadi cekap, dia pun berasa seronok buat, dan akan terus-terusan buat. Dan jika kita puji tingkah laku dan usaha mereka, secara tak langsung akan membantu untuk membina harga diri.

👪 Bagi pujian pada tingkah laku yang baik. Puji, ambil peduli dan beri komen membina pada percubaan, usaha dan penambahbaikan. Cuba cari perkara-perkara kecil yang mereka buat yang boleh buat kita puji mereka. Contoh; dalam kekalutan kita menguruskan hal rumah, mungkin kita tak sedar dia membantu menenangkan adiknya yang menangis. Perkara kecil saja tapi boleh bagi impak yang besar. Puji dia, beritahu dia seorang abang/kakak yang baik, pandai pujuk adik.

👪 Beri ganjaran
serta-merta kepada tingkah laku yang baik dan beri banyak ganjaran kecil dengan kerap. Ganjaran ni bukan lah wang ringgit atau mainan mahal semata-mata. Ganjaran boleh jadi pelukan, cerita, bermain permainan kegemaran mereka, berjalan kaki di taman, menonton televisyen atau apa sahaja yang anda tahu anak-anak suka buat. Adakan ganjaran yang berbeza, jika tidak, mereka akan bosan.

Tips ini sebagai panduan untuk rakan-rakan dan Syue juga. Anak-anak kita walau tiga walau empat, tak akan ada yang sama. Anak-anak Syue dengan anak korang pun tak sama. Jadi, bukan semua ibu bapa dapat ikut kesemua di atas. Buat ikut kesesuaian. Kena ingat yang mendidik dan membentuk anak menjadi individu yang berkualiti di masa hadapan memerlukan pengorbanan dan masa yang panjang. Kita sebagai ibu bapa harus memainkan peranan yang besar sebab anak-anak yang dibesarkan dengan kasih sayang ibu bapa nya akan membesar menjadi orang dewasa yang bahagia. 


No comments:

Post a Comment

SyueSalim © . Designed by MaisarahSidi.com