Hamil Kembar: Beberapa Perkara Anda Perlu Ambil Tahu

syuesalim | August 21, 2015 | 0Komen |
Setiap pasangan yang berkahwin menginginkan rumahtangga mereka dimeriahkan dengan anak-anak. Rezeki masing-masing dah ditetapkan oleh Allah; ada anak atau tidak, berapa ramai. berapa jumlah anak, bayi tunggal ataupun kembar. Sebut berkenaan kembar. Sebenarnya, tiada siapa boleh menjangka kejadian kembar ini. Mungkin ada pasangan nak sangat kembar, tapi tak dapat. Ada yang tak pernah terfikir pun nak kembar, tapi dapat. Apa-apa pun semua itu kuasa Allah. Generasi ke generasi pasti ada yang beranak kembar. Moyang-moyang tok nek kita terdahulu entah-entah ada kembar, kita mana tahu kan.

Jika anda telah disahkan hamil anak kembar, TAHNIAH! Mula lah mencari info-info berkaitan kembar. Kerana anda bakal merasai pengalaman mengandungkan 2 orang dalam kandungan anda selama beberapa bulan akan datang. Ini yang anda perlu tahu demi kesihatan anda, dan bayi-bayi dalam kandungan anda.

Bagaimana Kembar Terjadi?
Bagi sesetengah keadaan, faktor tertentu memainkan peranan. Sebagai contoh, faktor umur. Hamil pada usia yang lanjut berkebarangkalian tinggi hamil kembar kerana perubahan hormon boleh menyebakan lebih dari satu telur dilepaskan pada satu masa. Juga penggunaan teknologi pada masa sekarang seperti kaedah IVF (in-vitro fertilization) boleh juga meningkatkan kemungkinan hamil kembar dua atau lebih.

Kembar Tidak Seiras (Fraternal Twins/ Dizigotic Twins)
Berlaku apabila 2 telur disenyawakan oleh 2 sperma. Setiap dari kembar ini mempunya placenta (uri) nya sendiri dan duduk dalam kantung masing-masing. Jantina kembar jenis ini boleh jadi sama atau berbeza; 2 lelaki, 2 perempuan atau 1 lelaki, 1 perempuan. Rupa dan perwatakan mereka dapat dibezakan. Kembar ini tiada beza dengan adik-beradik lain kerana mereka lebih kepada 2 individu berbeza. Kembar jenis ini banyak berlaku.


Kembar Seiras (Identical Twins/ Monozigotic Twins)
Berlaku apabila 1 sel tunggal yang telah disenyawakan berpecah menjadi 2. Kembar ini boleh berkongsi placenta, tetapi kebiasaanya mereka duduk dalam kantung sendiri masing-masing. Macam kembar Syue, begini lah. 1 placenta, 2 kantung. Mana tahu? Doktor beritahu. hehe. Secara genetik, kembar ini biasanya sama dari segi rupa, jantina dan perwatakan. Jarang sekali kembar ini menjadi 'dua individu'.

Kembar tiga atau lebih boleh jadi identical, fraternal atau kedua-duanya.

Bagaimana kehamilan kembar dikesan?
Doktor yang memeriksa anda boleh menjangka anda mungkin hamil kembar jika perut anda sendiri nampak lebih besar dari kehamilan normal. Sekarang, teknologi imbasan ultrasound juga dah boleh kesan anda hamil kembar. Macam Syue, seawal kandungan 8 minggu doktor dah boleh kesan 2 degupan jantung.

Apa yang anda perlu jangka jika hamil kembar:
  • Morning Sickness
    • Morning sickness atau alahan ibu yang hamil kembar mungkin lebih teruk berbanding mereka yang hamil biasa. Ini kerana peningkatan perubahan hormon yang lebih tinggi kepada ibu hamil kembar. Mereka ini mungkin akan mengalami muntah-muntah yang teruk berbanding yang hamil biasa pada trimester pertama. Namun tidak semua yang mengalaminya. 
  • Rutin Pemeriksaan Yang Lebih Kerap
    • Pegawai perubatan akan lebih memberi perhatian kepada kesihatan anda dan perkembangan bayi-bayi. Anda mungkin lebih kerap menjalani imbasan ultra-sound dan ujian kesihatan lain.
  • Pertambahan Berat Badan
    • Pertambahan berat badan yang betul dapat menyokong kesihatan bayi-bayi anda. Untuk kehamilan kembar, dicadangkan pertambahan berat yang sesuai untuk anda sendiri adalah antara 17kg hingga 25kg (bagi wanita yang dah memiliki berat ideal sebelum mengandung), yang mana badan anda memerlukan 600 kalori tambahan setiap hari. Anda boleh mendapat khidmat nasihat dari pegawai perubatan bagi menentukan diet yang sesuai untuk anda.
  • Keperluan nutrisi
    • Ibu hamil kembar lebih memerlukan asid folik, zat besi, protein, kalsium dan nutrisi lain. Segala yang diperlukan ini memang terkandung dalam set hamil/mengandung ini. Jika anda sendiri sudah mengamalkan pemakanan yang sihat, teruskan dan pastikan ambil mengambil vitamin pranatal secukupnya.
  • Lebih peka, lebih hati-hati
    • Anda mungkin perlu menghadkan aktiviti tertentu; kerja, travel mahupun sebarang aktiviti fizikal yang membebankan badan untuk sepanjang tempoh kehamilan kembar anda. Pada yang tiada masalah, mungkin mampu jalani aktiviti rutin anda, tetapi tahap kecergasan perlu dikurangkan. Namun pada yang pernah mengalami masalah dalam kehamilan biasa, mungkin akan disarankan oleh doktor untuk banyak bed rest untuk mengelakkan berlakunya sebarang komplikasi.
Ambil LEBIH perhatian kepada kemungkinan KOMPLIKASI:
  • Tekanan Darah Tinggi
    • Ibu yang hamil kembar biasanya akan mengalami tekanan darah tinggi semasa hamil. Ibu hamil kembar berisiko mengalami preeclampsia, keadaan di mana adanya tekanan darah tinggi dan protein wujud dalam urin. Penjagaan yang teliti diperlukan untuk mengelakkan komplikasi serius pada ibu dan bayi-bayi.
  • Kelahiran pramatang
    • Ibu hamil kembar kebiasaannya akan melahirkan bayi-bayi kembar seawal 36 minggu. Bayi-bayi pramatang tetapi berat badan melebihi 5.5pound (2.49kg) mungkin tiada masalah jika dibandingkan dengan bayi-bayi pramatang dengan saiz dan berat yang terlalu kecil. Mereka ini terdedah kepada beberapa masalah kesihatan termasuklah kesukaran pernafasan, penghadaman, masalah penglihatan dan jangkitan., dan pantauan rapi dilakukan sehingga mereka betul-betul boleh survive sendiri. 
  • Twin to Twin Tranfusion
    • Biasanya berlaku pada kembar seiras. Keadaan di mana pengagihan bekalan darah dalam placenta yang tidak sama rata antara kedua kembar ini, menyebabkan satu bayi menerima banyak darah berbanding satu lagi. Komplikasi ini sangat serius untuk kedua-dua bayi. Rawatan segera amat diperlukan untuk mencegah risiko kematian kepada kedua-dua bayi. Ibu juga berkemungkinan dipaksa bersalin awal.
  • Kelahiran secara Pembedahan (Cesarean section @ C-section)
    • Untuk kembar, kelahiran secara normal boleh berlaku sekiranya salah satu bayi berada dalam keadaan kepala di bawah. Jika tidak, atau kedua-dua dalam posisi breech, ibu akan dicadangkan untuk menjalani C-section. Pada sesetengah keadaan, ada yang melahirkan bayi pertama secara normal dan disebabkan komplikasi tertentu, yang kedua mungkin terpaksa dikeluarkan secara C-section. Untuk kehamilan kembar melebihi 2, sememangnya ibu dicadangkan untuk menjalani C-section.
Berdasarkan pengalaman Syue, Alhamdulillah dengan izin-Nya, Syue tidak mengalami sebarang morning sickness dan juga komplikasi-komplikasi seperti yang disebut di atas. Syue diberi kemudahan untuk mudah mengandungkan mereka. Boleh baca pengalaman Syue mengandungkan kembar Syakira & Syamila di sini dan juga di sini. Mereka juga lahir secara normal dengan berat masing-masing 2.50kg dan 2.51kg. Alhamdulillah tiada masalah semasa melahirkan mereka.

Nikmati pengalaman mengandungkan kembar ini kerana bukan semua dapat merasai perbezaanya. Jaga diri dan anak-anak dalam kandungan dengan sehabis baik dan semoga anda melalui segalanya dengan mudah.

No comments:

Post a Comment

SyueSalim © . Designed by MaisarahSidi.com