7 Perkara Perlu Dipertimbang Ketika Memberi PENCUCI MULUT Kepada Anak-anak

syuesalim | November 14, 2015 | 0Komen |

Amacam gambar di atas? Meleleh air liur nengokkan? haha. Tu antara contoh pencuci mulut. Pencuci mulut merupakan salah satu sajian dalam sajian utama. Sajian pencuci mulut biasanya lebih manis dan ringan. Boleh jadi kek, ais krim, coklat, kopi, dan ada di sesetengah tempat di dunia umumnya mempunyai pencuci mulut tradisional mereka sendiri. Namun, pencuci mulut bukanlah sekadar penghias ruang makan. Ia juga boleh menjadi pelengkap hidangan untuk buah hati anda. Biasa kanak-kanak lebih teruja dengan pencuci mulut ni kan. Tapi, banyak mana mereka boleh ambil yer?

Pertimbangkanlah perkara-perkara berikut jika anda hendak memberi anak-anak pencuci mulut, agar mereka berpeluang menikmati sajian pencuci mulut yang sihat daripada anda sendiri.

1. Buah-buahan Segar
Pencuci mulut yang sihat lazimnya terdiri daripada buah-buahan segar. Ia bukan sekadar mudah, cepat dan ringkas untuk disediakan malah ianya memang kaya dengan nutrien berkhasiat untuk kanak-kanak. Walaupun kelaziman pencuci mulut adalah selepas makan, seeloknya galakkan mereka ambil buah sebelum makan seperti yang pernah Syue nyatakan dalam artikel sebelum ini, supaya khasiat buah dapat dinikmati secara optimum.

2. Beri Peluang Memilih
Kebanyakan kanak-kanak memang gemarkan buah-buahan yang memiliki rasa sedap dan manis. seperti tembikai dan mangga. Namun ada juga di kalangan kanak-kanak ini memang liat nak makan buah. Lagi-lagi kalau mereka pernah memakan buah yang agak masam seperti oren atau kiwi. Pasti andaian mereka semua buah begitu rasanya. Seolah-olah macam fobia nak makan buah. Jika anak anda tergolong dalam kumpulan ini, cuba hidangkan dalam bentuk dan cara yang mampu buat mereka berminat. Boleh beri mereka peluang untuk pilih sendiri buah mengikut citarasa mereka.

3. Variasikan Buah-buahan
Jika dihidangkan dengan buah-buahan yang dipotong di dalam pinggan semata-mata, lama-lama mungkin kanak-kanak akan rasa bosan. Apa kata buat sedikit kelainan. Ubah suai resepi anda. Boleh cuba blendkan buah-buahan kegemaran seperti strawberi atau mangga dengan susu rendah lemak. Khasiat buah tak hilang, sedap pun sedap tau. Mana tahu berulang kali pula mereka minta kan.

4. Kenali Sajian
Walaupun pencuci mulut merupakan hidangan paling akhir, tetapi keenakannya tetap diutamakan agar si kecil lebih berselera. Dalam mengutamakan rasanya, kenalpasti terlebih dahulu jenis makanan itu. Mungkin anda tidak sedar bahawa pencuci mulut yang anda berikan kepada mereka bukanlah sajian yang sihat. Lihat sama jika ianya mengandungi terlalu banyak garam, gula ataupun lemak.

5. Buatan Sendiri
Berbanding dibeli diluar, apa kata jika anda menyediakan sendiri di rumah. Puding, agar-agar atau kuih muih ringkas. Sekurang-kurangnya kita boleh kawal bahan-bahan dan kandungan di dalam makanan tersebut. Mungkin boleh kekalkan rasa dan warna dengan menggunakan bahan semulajadi. Contoh seperti puding buah, agar-agar pandan atau kek pisang. Satu kepuasan jika dapat buat sesuatu yang menarik selera kanak-kanak dan secara tak langsung mereka belajar menghargai air tangan ibu mereka.

6. Perlindungan Kepada Si Kecil
Pencuci mulut bukan sekadar makanan sahaja. Dengan mendidik dan mendedahkan si kecil kepada pencuci mulut yang sihat, anda boleh menjauhkannya daripada risiko gangguan jantung, obesiti dan diabetes. Tidak mustahil kanak-kanak boleh mendapat penyakit orang dewasa ini sejak dari kecil tau. Jadi, kitalah sewajarnya memain peranan untuk memilih pencuci mulut terbaik untuk mereka.

7. Kawal dan Pantau
Terlalu menghadkan pengambilan makanan di kalangan kanak-kanak secara keterlaluan bukanlah satu tindakan yang bijak pun. Lumrah kanak-kanak apabila melihat sesuatu yang menarik perhatian mereka, semua mereka nak, kan. Kalau itu tak boleh, ini tak boleh, tak mustahil mereka akan memberontak. Kita sebagai orang dewasa main peranan untuk mengawal dan memantau pencuci mulut yang diambilnya. Lagi-lagi jika kita memiliki anak yang berdepan dengan masalah kesihatan. Terangkan kepada mereka kenapa tak boleh ambil itu, kenapa kena ambil ini. Lama-kelamaan mereka akan faham.

Selamat mencuba!



No comments:

Post a Comment

SyueSalim © . Designed by MaisarahSidi.com