6 Cara Mendidik Anak-anak Berpuasa Dengan Seronok dan Tanpa Paksaan

syuesalim | June 18, 2015 | 0Komen |

Puasa merupakan salah satu dari rukun Islam yang diwajibkan kepada umat Islam. Puasa bererti menahan diri dari lapar dah dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, bermula dari terbitnya fajar dan terbenamnya matahari, beserta niat di awal hari. Puasa ini diwajibkan dalam bulan Ramadhan, setahun sekali mengikut kalendar Islam.

Kita diperintahkan oleh Allah untuk mengajar anak solat seawal usia 7 tahun. Betul. Itu yang wajib dan itu yang paling penting. Dan kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan puasa. Kadang-kadang ibu bapa ini terlalu ghairah untuk menyuruh anak-anak berpuasa tanpa mempertimbangkan kemampuan anak-anak itu sendiri. Jika masih muda, belum mampu berpuasa, perlukah dipaksa?

Sebut tentang puasa, puasa adalah suatu perkara yang agak sukar dilakukan oleh kanak-kanak. Betul? Kita pernah melalui fasa kanak-kanak juga dulu. Masih ingat pada umur berapa anda mula berpuasa? Pernah dengar 'puasa yangyuk', 'puasa sekerat hari'? Sinonim sangat dengan kanak-kanak kan. Pada zaman Syue dulu, rata-rata kanak-kanak pada zaman itu belajar puasa ketika umur 8 atau 9 tahun. Kiranya kalau umur 7 tahun, kanak-kanak darjah 1 boleh makan tanpa malu-malu lah. Itu zaman 80-an. Zaman sekarang? Seawal usia 4-5 tahun pun dah berpuasa. Darjah 1 kalau ada yang tak puasa tu, siap la kena perli dengan kawan-kawan kan. 

Ibu bapa kena faham, ada anak-anak yang boleh melakukan ibadah ini tanpa paksaan atau menunjuk-nunjuk. Mungkin dalam keluarga itu sendiri sudah dipupuk sifat-sifat Islam dalam kehidupan seharian mereka. Tapi tidak perlulah rasa rendah diri jika kita tidak ada persekitaran begitu. Apa kata kalau kita ajar anak-anak berpuasa seiring dengan mengajar kewajipan bersolat. Lebih mudah kan?

Pada ibu bapa yang mahu juga anak-anak mereka berpuasa, bagaimana hendak menjayakan ibadat puasa untuk mereka, terutamanya bagi yang pertama kali berpuasa? Berikut adalah cara-cara yang dicadangkan boleh dilakukan oleh ibu bapa. Mungkin pendekatan setiap ibu-bapa tidak sama, dan penerimaan kanak-kanak itu juga berbeza tapi sekurang-kurangnya cara-cara ini sedikit sebanyak dapat membantu anda yang buntu sama ada mahu anak-anak berpuasa atau tidak.


1. Terangkan Keutamaan Puasa Kepada Mereka
Kanak-kanak lazimnya mengetahui puasa ini sekadar tak makan dan tak minum. Jika mereka mahu puasa, kita cuba ceritakan apa kepentingan puasa kepada mereka, sebab apa kita berpuasa, dan ganjaran kepada orang berpuasa. Secara tidak langsung pengetahuan ini akan dibawa apabila mereka dewasa nanti.

2. Tidak Hadkan Tempoh Berpuasa
Ada anak-anak yang berumur 4-5 tahun dah berpuasa. Syue percaya bukan sebab mereka dipaksa berpuasa tapi mereka sendiri minta nak berpuasa. Biasanya sebab tengok kakak abang mereka berpuasa kan. Jika ada anak-anak begini, kita bagi sokongan. Kita latih perlahan-perlahan. Tak perlu habis satu hari. Cukup sekadar 1 jam atau 2 jam sehari. Tambah waktu sedikit demi sedikit. Lama-kelamaan mereka akan lebih kuat untuk berpuasa pada tempoh yang lama. Jika tak mampu bangun awal pagi bersahur, biarkan mereka makan seperti bersarapan. Kemudian sambung puasa seperti orang lain. Jika hendak berbuka di siang hari, biarkan. Jangan dimarahi mereka. Jangan sampai mereka anggap puasa ini membebankan. Lama-kelamaan, seiring dengan peningkatan usia, mereka akan faham dengan konsep puasa itu sendiri.

3. Beri Reward atau Ganjaran
Biasanya ibu bapa berjanji akan bagi ganjaran RM1 jika dapat satu hari berpuasa penuh. Ada kan? Zaman Syue dulu pun begini juga. Masa pagi Hari Raya mula lah berlawan sesama adik beradik tengok siapa dapat kutip duit puasa penuh. Bukanlah kita menggalakkan atau memanjakan mereka dengan kebendaan. Ianya sebagai permulaan atau motivasi jika mereka mahu berpuasa. Perlu diingatkan kepada mereka, puasa bukan semata-mata untuk hadiah atau ganjaran. Kita berpuasa untuk menunjukkan ketaatan kita kepada Allah dan mendapat keredhaan-Nya.

4. Lekakan Mereka dengan Aktiviti Lain
Jika mereka letih, benarkan mereka tidur. Cuma jangan berlebihan. Atau boleh buat aktiviti yang tidak memerlukan banyak tenaga dan memenatkan seperti meminta mereka bantu buat persiapan berbuka atau persiapan raya. Boleh juga menonton TV atau apa jua aktiviti yang dapat menyibukkan mereka. Biar fokus mereka beralih dari memikirkan sengsaranya berpuasa tidak dapat makan dan minum. Dengan cara ini, mereka akan jalankan puasa dengan gembira dan mungkin secara tidak sedar mampu habiskan satu hari berpuasa penuh, kan.

5. Makan Makanan Berkhasiat dan Seimbang ketika Sahur
Jangan skip sahur. Biasakan anak-anak kita dengan sahur. Jika susah untuk bangun sahur, suruh mereka tidur awal supaya senang dikejutkan. Mula-mula memang agak susah; mungkin sehingga terpaksa angkat ke meja makan. Namun lama-kelamaan mereka sendiri akan seronok dan teruja untuk bangun sendiri, lagi-lagi jika kita sediakan makanan kegemaran mereka. Elakkan makanan segera ya. Biasakan mereka untuk ambil makanan berat yang lengkap protein dan karbohidrat dan biarkan mereka makan banyak supaya kekal bertenaga sepanjang hari. Minum air kosong dengan banyak supaya tidak terhidrasi pada waktu siang. Kalau anak-anak Syue, dengan keadaan Qatar yang sangat panas, Syue pasti akan beri minuman pelengkap nutrisi dan minuman tambahan ini supaya bendalir dalam badan dikekalkan dan tidak cepat letih.

6. Latih untuk Mengawal Diri
 Apabila berpuasa, secara tidak langsung ianya sebenarnya melatih anak- anak menjadi lebih sabar dan pandai kawal diri. Latih anak-anak untuk kawal diri dari berkelahi dengan adik beradik, mengeluarkan perkataan yang tidak elok, melawan cakap ibu bapa, bercakap bohong dan lain-lain. Juga kawal diri dari bermalas-malasan; malas solat, mengaji dan belajar. Jika sifat ini dipupuk untuk sepanjang puasa tidak mustahil anak-anak akan terus mempraktikkannya selepas bulan puasa.

Dalam mendidik anak berpuasa, lakukan dengan berhemah. Cuba dengan cara-cara yang disebutkan dulu. Jangan sampai mereka fikir puasa ini suatu ibadah yang menyusahkan. Contoh yang baik datangnya dari ibu-bapa itu sendiri. Jika kita tunjuk rasa keterujaan kita menyambut Ramadhan, anak-anak akan ikut. Ajar mereka berlumba-lumba untuk mencari redha Allah.

Selamat menyambut puasa dan selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment

SyueSalim © . Designed by MaisarahSidi.com