4 Cara Jimat Beli Barang Kembar: Perlu Kah Semua Serba Dua?

syuesalim | March 25, 2015 | 0Komen |
Mana-mana pasangan yang bakal mendapat anak buat pertama kali, mesti sangat teruja nak beli barang bayi kan. Seawal 5 bulan dah mula beli sikit-sikit. Tengok saja lah baju bayi di pasaran. Ya Allah...cute nya laaaa. Dari kepala sampai ke kaki, apa benda yang tak cute pasai baby. Mana lah tak menggugat jiwa dan perasaan. Kalau boleh semua serba satu nak ambil. Tak kira suami atau isteri, kedua-duanya mesti teruja. Kadang-kadang si bapa tu lebih lagi dari si ibu tu haa. Mengaku tak? haha. Okay, itu kalau anak satu. Macamana kalau dua? Kalau tiga? Lagi-lagi kalau kembar yang bakal lahir ada lelaki dan perempuan. Wah, happening! Hah, rasa macam nak beli kedai terus! Tapi, memang semua mesti beli DUA ke?

Bila ada anak seorang pun sebenarnya kita dah cenderung untuk membazir. Macam kami suami isteri, kami belajar dari pengalaman. Syue terutama sekali, agak detail bab beli-beli barang ni. Bukan kedekut yer, tapi bila membeli tu Syue fikir lebih sikit; perlu atau tak. Lagi-lagi kalau dah kembar ni. Huii, memang Syue agak pening fikir macamana nak beli barang dalam tempoh mengandung haritu. Tapi berdasarkan pengalaman yang belum lama ni dan pencarian beberapa maklumat, ada beberapa tips yang boleh diikuti untuk berjimat beli barang kembar.

Apa yang  perlu dipertimbangkan semasa membeli barangan kelengkapan bayi kembar?

1) Barang yang Boleh Dikongsi
Secara umumnya, bayi seawal usia beberapa bulan selepas lahir belum pandai nak guna barang sendiri-sendiri pun. Jadi, pada masa begini, ibu bapa main peranan belikan hanya satu barang dan biarkan mereka berkongsi. Salah satu benda besar yang boleh dikongsi ialah baby cot. Tak perlu beli sampai dua! Bagi peluang mereka enjoy duduk bersama sementara mereka kecil. Memang seronok tengok! 

2) Barang yang Hanya Boleh Guna Sekali pada Satu Masa
Ada sesetengah barang bayi ni hanya boleh guna sekali dalam masa itu sahaja, jadi tak guna pun nak beli sampai dua. Sebagai contoh, meja salin lampin/pakaian. Bukan kita nak salin kembar tu serentak pun kan. Kalau kita ada pembantu pun, ambil giliran. Jadi, jika ada satu dah memadai. Lagipun, berapa lama sangat boleh guna. Bila bayi tu dah besar, dah lasak, agak susah dah nak menyalin di atas meja tu. Lagi satu, tab mandi bayi. Pun kita boleh gilir mandikan. Macam Syue pada awalnya mandi bergilir-gilir. Sekarang mereka dah nak mandi berdua. Tab mandi tu pun bukannya muat untuk dua orang. Akhirnya, gantung terus dah. Barang lain seperti sabun, syampu, losyen, pengepit kuku, boleh saja dikongsi.

Ada sesetengah mainan pun begitu juga. Contohnya playmat. Tak perlu juga nak beli sampai dua. Boleh gilir-gilir main. Kalau Syue, Syue suka belikan kembar mainan yang berlainan. Syue biar mereka gilir-gilir dan berebut main. Seronok! Kalau kita pun bosan kot tengok mainan yang sama sampai dua. haha. 

3) Barang yang Perlu Dicuba Dahulu
Ada barang yang memang perlu pun ada dua, tapi apa kata kalu kita cuba dulu beli satu. Tengok penerimaan kedua-dua bayi kita. Jika dua-dua tunjuk minat, baru boleh beli yang satu lagi. Kalau seorang saja yang minat, beli satu pun dah cukup. Contoh seperti walker, bouncer atau jumpers. Jika awal-awal dah beli semua peralatan serba dua, buatnya kembar tak suka guna, tak ke membazir tu.

4) Barang Second-hand/ Terpakai/ Prelove
Ada sesetengah ibu bapa tak berapa suka barang terpakai ni. Lagi-lagi kalau anak kembar mereka  anak sulung. Sebolehnya nak semua baru. Tapi jika dilihat di Internet, dah ramai yang buat jualan prelove/terpakai tau. Maknanya memang ada permintaan. Sebab ada di kalangan kita, pasangan ibu bapa yang bakal menerima anak sulung kembar yang kurung berkemampuan. Bukan langsung tak mampu beli cuma barangan baru kan harganya lebih mahal. Lagi-lagi yang berjenama. 

Lagipun barangan terpakai bukan tak cantik. Ada yang bayi baru sempat pakai 2-3 kali saja, dah tak muat. Padahal masih elok kain & warnanya. Sayang kan. Sama juga macam kelengkapan besar yang lain seperti buaian, car seat, stroller, walker. Ada laman web yang bagi peluang individu untuk menjual barangan terpakai mereka. Jika masih dalam keadaaan baik apa salahnya kan. Kita mungkin boleh dapat barangan yang berjenama pada harga yang lebih murah. Mana tahu kan!

Itu kalau situasi anak kembar sebagai anak sulung. Kalau kembar ni sudah ada abang atau kakak, lumrahnya baju yang abang kakak dah pakai mesti diturunkan kepada mereka. Tapi ibu bapa pun kenalah pastikan yang baju yang nak diturunkan itu yang masih elok & boleh dipakai. Mentang-mentang lah baju anak sendiri, sampai hati bagi yang dah bertahi lalat lah, kuning lah. Haha. Jangan yer. Tapi situasi macamni dah biasa sangat bagi yang dah beranak ramai. Memang jimat banyak! Kalau macam Syue, tiada pilihan. Syue memang kena beli baru sebab di atas kembar, abang-abang. Takde baju yang boleh diturunkan pun pada adik perempuan. huhu.

Itu antara tips untuk jimat. Perlu ingat, kembar ni, segala macam perkara perlu double. Dari sekecil-kecil perkara seperti lampin, susu hinggalah ke sebesar-besar perkara; sekolah, insurans. Tak tahan tengok barang bayi? Biasalah kan! Itu dinamakan teknik pemasaran. Pengeluar barangan bayi memang akan buat apa saja bentuk pemasaran untuk barangan mereka sebab mereka tahu memang akan ada ibu bapa yang yang membeli. Apa-apa pun, terpulang pada ibu bapa itu sendiri; ukur kemampuan masing-masing. Mampu, boleh beli serba baru. Kurang mampu, boleh guna tips-tips Syue ni. Jangan tiru orang. Orang nak ada, kita pun nak ada kan. Ibu bapa yang bijak mampu berbelanja secara berhemah.

Selamat mencuba! 

No comments:

Post a Comment

SyueSalim © . Designed by MaisarahSidi.com