Anda mungkin pernah melihat atau sendiri mengalami perubahan kulit ketika hamil kan. Normal kah? Adakah anda seorang mengalaminya? Jangan risau. Kebanyakan wanita hamil akan berdepan situasi ini. Hanya segelintir wanita sahaja yang bernasib baik terkecuali dari menghadapi sebarang masalah kulit ini. Orang luar mungkin hanya melihat perubahan perut yang semakin membesar. Tapi wanita mengandung itu sendiri yang tahu perubahan apa yang berlaku pada dirinya.
Terlalu banyak perubahan berlaku pada badan seseorang wanita ketika beliau hamil. Perubahan hormon dan sistem imun badan adalah biasa untuk wanita hamil dah kebiasaanya bagi kesan pada kulit. Bagi yang menghadapinya, bukanlah bermakna anda tidak bernasib baik. Ianya adalah salah satu perkara biasa yang berlaku sepanjang proses kehamilan. Cuma perubahan ini kadang kala boleh membuatkan anda rasa bimbang dan rasa rendah diri.
Mari kita lihat beberapa perubahan kulit yang biasa berlaku ketika mengandung.
Kegatalan
Kegatalan ini adalah perkara paling teruk ketika hamil. Boleh dikatakan kebanyakan wanita hamil pasti mengalaminya. Ini kerana, ketika hamil, kulit menjadi kering dan mengelupas, dan menyebabkan kegatalan. Ada juga yang mungkin mendapat ruam panas kerana ketika hamil, anda banyak berpeluh dan kulit akan bergesel sesama sendiri, terutamanya di bahagian dalam peha dan juga di bahagian perut yang berselisih dengan bahagian atas pubik.
Ada sesetengah wanita hamil mudah mendapat kegatalan, benjolan merah di perut, peha lengan dan punggung. Keadaan ini dinamakan pruritic urticarial papules and plaques of pregnancy (PUPP). Ia biasanya muncul sekitar minggu ke-34 dan hilang segera setelah melahirkan anak. Terdapat keadaan kulit lain yang menjadikan kulit terlalu gatal boleh berlaku selain dari PUPP seperti prurigo getationis, herpes gestationis dan impetigo herpetiformis. Biasanya untuk tahap kegatalan yang tidak serius, doktor akan mengesyorkan krim kortikosteroid yang boleh melegakan sedikit kegatalan kepada ibu hamil. Namun, jika wanita hamil merasakan beliau mengalami kegatalan atau ruam yang tidak normal, haruslah berjumpa dengan doktor, kerana dikhuatiri sesetengah keadaan ruam boleh membahayakan ibu dan juga bayi.
Jerawat boleh membawa masalah pada segelintir wanita. Kehamilan boleh menjadi penyebab kepada seseorang wanita ada jerawat atau pada mereka yang dah ada jerawat mungkin menjadikannya lebih teruk. Peningkatan hormon androgens ketika hamil menjadikan kelenjar kulit mengembang dan menggalakkan pengeluaran minyak yang dipanggil sebum. Sebum yang berlebihan, akan bergabung dengan sel kulit mati, menutup liang roma dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang sangat disukai oleh bakteria untuk membiak. Ini menjadi penyebab kepada keradangan kulit dan jerawat mungkin berlaku. Jerawat ketika hamil boleh jadi biasa atau teruk, dan boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang kehamilan.
Elakkan penggunaan scrub yang kasar atau produk pengelupasan yang mungkin menyebabkan kerosakan kulit kekal. Sebaiknya guna ubat anti-jerawat yang dipreskripsi oleh doktor. Jika jerawat anda teruk, dapatkan khidmat nasihat ahli dermatologi kerana ada sesetegah bahan dalam krim jerawat tidak sesuai digunakan untuk wanita hamil.
Tanda pada kulit
Ada sesetengah wanita hamil mendapati terdapat benjolan kecil atau polip di bawah lengan, di antara lipatan leher atau di bawah garisan coli. Tanda kulit ini adalah disebabkan pertumbuhan lapisan kulit yang terlalu aktif di sekitar kulit yang bergesel sesama sendiri atau pakaian. Ada juga sesetengahnya akan muncul tahi lalat yang baru. Mungkin ada sesetengah wanita hamil rasa sangat tidak selesa kerana
kadang kala polip atau tahi lalat ini tumbuh tanpa disangka. Jika polip atau tahi lalat yang muncul ini dirasakan tidak normal, dapatkan nasihat ahli dermatologi untuk mengatasinya. Jika berkeadaan biasa, ianya hanyalah bersifat sementara.
Kegelapan
Pernah dengar atau lihat yang mana wajah wanita yang hamil ini secara tiba-tiba akan kelihatan gelap atau kekuningan, seolah-olah memakai topeng? Ini tidak terjadi kepada semua wanita dan ianya tidak kekal. Keadaan ini berlaku kerana hormon dalam badan meransang sel melanin dalam kulit untuk mengeluarkan lebih pigmentasi. Walau bagaimanapun, pigmentasi ini tidak sama rata. Biasanya berlaku tompokan yang berbeza sama ada di bahagian dahi, atas pipi, hidung, atas bibir atau dagu.
Kebiasaanya bagi mereka yang berkulit gelap, peningkatan hormon menjadikan kawasan yang sedia gelap menjadi lebih gelap lagi, seperti di bahagian puting, areola, ketiak, tengkuk, celah dalam peha dan genital. Jika anda ada parut, parut juga akan menjadi lebih gelap. Ada satu lagi keadaan iaitu, akan muncul garisan perut
berwarna hitam (linea nigra) dari bawah dada melalui pusat sehingga ke
bahagian pubik. Ada kan? Jadi wanita hamil yang mengalami keadaan begini tak perlulah risau atau rendah diri sehingga buat keputusan mendadak nak pakai krim pemutihan. Bersabarlah. Kesemua perubahan ini adalah biasa dan akan hilang beberapa bulan selepas melahirkan.
Berseri
Berlawanan dengan masalah kegelapan tadi, ada sesetengah wanita hamil kelihatan berseri-seri. Bukan sekadar ayat-ayat ampu atau pujian saja. Memang ada kebenarannya. Ia dipanggil 'pregnancy glow'. Kita sedia tahu, terdapat banyak saluran darah di bawah kulit. Ketika hamil, badan akan menghasilkan lebih banyak darah untuk menyokong bayi. Jadi, akibat dari peningkatan pertambahan darah ini, kulit akan nampak merah. Kelenjar minyak juga akan bertambah pengeluarannya, menjadikan kulit nampak lebih berkilat atau berminyak. Beruntung bagi wanita hamil yang mengalami keadaan begini. Ini adalah salah satu perubahan kulit yang amat menyenangkan kerana pandangan orang akan menilai 'keserian wajah' yang wanita hamil ini pamerkan.
Inilah keadaan yang biasa dialami oleh kebanyakan wanita. Tiada siapa dapat menentukan orang yang hamil begini mungkin dapat atau yang hamil begitu tidak akan dapat stretch marks ini. Stretch marks merupakan koyakan halus tisu elastik di bawah kulit anda. Mengikut kajian juga, ianya lebih berkaitan dengan faktor genetik. Jika ibu anda pernah mengalaminya ketika mengandung dahulu, anda mungkin akan mengalaminya juga. Peningkatan berat secara mendadak juga boleh sebabkan stretch mark ini. Selain itu mereka yang mengandung kembar atau bayi yang besar lebih cenderung mengalaminya. Stretch marks ini lebih ketara pada mereka yang berkulit gelap berbanding yang berkulit cerah.
Terdapat krim dan losyen yang anda boleh sapu tetapi yang nyatanya, tiada apa yang boleh mencegah atau menghalang kesan regangan ini. Anda mungkin boleh kawal berat supaya tidak naik mendadak. Jika anda rasakan kesan regangan ini mengganggu atau tidak selesa, bolehlah dapatkan nasihat ahli dermatologi. Berbeza dengan beberapa perubahan kulit yang lain, stretch marks ini tidak akan hilang dengan cepat. Ianya mungkin mengambil masa yang lama untuk pudar dan berkurang.
Spider veins atau bahasa mudah, urat timbul, merupakan saluran darah merah yang sangat halus (seperti sarang labah-labah) di bawah kulit dan jelas kelihatan. Peningkatan pengaliran darah ketika hamil memberi tekanan kepada saluran darah dan ini yang menyebabkan ia bengkak dan timbul. Faktor genetik juga boleh mempengaruhi kejadian spider veins ni juga yer. Spider veins paling biasa didapati di bahagian muka, leher dan lengan. Urat pada kaki, biasanya di belakang lutut mungkin kelihatan lebih besar dan terbonjol keluar. Ini dinamakan vericose veins. Ia mungkin tidak hilang sepenuhnya walaupun selepas melahirkan bayi. Jika anda baru pertama kali hamil dan mengalaminya, elakkan berdiri lama atau duduk terlalu lama. Jika perlu berdiri atau duduk lama, sesekali lakukan regangan kaki atau berjalan seketika supaya kaki tidak berada dalam keadaan stress.
No comments:
Post a Comment