7 Panduan Jika Anak-anak Mahu BANTU Memasak

syuesalim | November 29, 2015 | 0Komen |

Ada tak di kalangan anak-anak kita yang suka membantu di dapur? 'Membantu; dalam erti kata tolong anda memasak ya, bukan tolong menghuru-harakan. hahaha. Usia baru setahun jagung. Sudah tentu banyak perkara yang nak cuba termasuklah memasak dan menyediakan hidangan di dapur bersama anda. Untung tau ada anak-anak yang nak tolong di dapur. Namun begitu, selaku ibu dan ayah, tidak mustahil akan ada rasa ragu-ragu dengan kemampuan anak-anak kita tu kan.

Mungkin ada di antara kita tidak gemar anak-anak ada bersamanya di dapur. Ye lah, anak kecil lagi kan. Dan ada anak-anak yang akan merajuk jika dilarang dari memasuki dapur. Jadi, apa perlu buat? Di sini Syue senaraikan beberapa panduan untuk ibu terutamanya, jika anak-anak anda ingin masuk ke dapur membantu anda.

1. Nilaikan Kelayakan
Bukan semua anak kecil boleh dibiarkan berlegar di dalam dapur, lagi-lagi kalau anda sedang memasak, jadi adalah menjadi tugas anda untuk menilai sejauh mana dia layak bersama dan membantu anda di dapur. Nilai sama ada layak atau tidak. Jikalau masih terlalu kecil, sukar dipantau serta tidak boleh duduk diam, adalah lebih baik anda jauhkan dia dari ruang dapur.

2. Tetapkan Peraturan
Sebelum membenarkan anak ke dapur, pastikan anda menetapkan beberapa peraturan keselamatan yang dia perlu ikut. Dengan menggunakan ayat ringkas yang anak mudah faham, terangkan kesemua peraturan tersebut. Jika dia faham, minta dia bersetuju untuk ikut segala yang telah ditetapkan. Jika dia enggan bermakna dia belum bersedia untuk bersama anda di dapur.

3. Penjelasan Ringkas
Kanak-kanak melihat aktiviti membantu ibu di dapur sebagai suatu pengalaman yang menyeronokkan tanpa mengambil kira bahaya yang mungkin dihadapinya. Jadi sebelum memulakan aktiviti memasak, pastikan anda mejelaskan kepadanya tentang akibat kalau dia bermain dan tidak serius semasa membantu anda di dapur. Dapur kan port penting para ibu, jadi anda mesti beritahu apa yang anak anda perlu tahu.

4. Bantu & Ajar Anak
Jika dia baru hendak belajar guna peralatan ataupun melakukan sesuatu seperti memotong bawang, pastikan anda membantunya terlebih dahulu. ini penting khusunya kalau ia melibatkan peralatan berbahaya seperti pisau. membiarkan dia menggunakannya secara sendirian tanpa binbingan akan menyebabkan dia terdedah kepada pelbagai bentuk bahaya dan kemalangan.

5. Tugasan Bersesuaian
Apabila hendak memberikan sebarang tugasan kepadanya, lihat dahulu sejauh mana kemampuannya. Bagaimana? Lihat pada usia dan kemahiran yang ada pada anak. Sekirannya anda tahu dia rendah berbanding ketinggian dapur dan masih belum pandai pegang senduk, tak perlulah minta dia kacau gulai atas dapur kan.

6. Sesuaikan Waktu
Bukan semua waktu memasak anda sesuai dilakukan bersama anak, apatah lagi kalau masa itu anda nak cepat. Biasanya dalam keadaan begitu anda sendiri sukar mengawal dan memantau anak-anak dan mungkin tanpa anda sedari, dia mungkin boleh melakukan sebarang jenis kesilapan di dapur sehingga boleh mencederakan dirinya dan silap-silap anda akan memarahinya juga. Jadi, pastikan suasana dalam keadaan tenang jika si kecil mahu membantu anda.

7. Pantauan
Mungkin ada dari kita dah boleh lepaskan anak-anak buat kerja sendiri di dapur. Perlu ingat, sama ada anak anda sudah mahir di dapur atau tidak, anda masih perlu memantaunya secara berterusan. Sentiasa perhatikan setiap gerak gerinya di dapur. Ini boleh elakkan dia dari terleka atau cuai. Pada masa yanag sama jangan lupa memberikan teguran dengan segera kalau dia melakukan kesilapan.

Untung kan kalau ada anak-anak yang mahu membantu di dapur tau. Anda boleh ikut panduan di atas supaya anak-anak faham perlu atau tidak mereka membantu anda di dapur, dan faham kenapa jika anda tidak benarkan mereka menolong anda di dapur. Situasi menang-menang kan. 

Semoga bermanfaat ☺

No comments:

Post a Comment

SyueSalim © . Designed by MaisarahSidi.com